Isnin, 19 November 2012

Jenis Masalah Pembelajaran Sains di Sekolah



1.         PENGENALAN
            Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (1993) mendefiniskan pengajaran dan pembelajaran “berasal dari satu kata dasar yang sama iaitu ajar yang bermaksud petunjuk yang diberikan kepada orang lain dan pengajaran bermaksud segala yang berkaitan dengan mengajar atau mengajarkan seperti caranya, sistemnya dan lain-lain”. Pengajaran merupakan aktiviti dan tugasan yang diusahakan secara bersama oleh guru dan para pelajarnya. Guru hendaklah merancang pengajaran secara sistematik dan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia melalui sukatan pelajaran agar perlaksanaan pengajaran itu selaras dengan Falsafah Pendidikan  Kebangsaan.
            Pembelajaran pula didefinisikan sebagai “proses memperolehi ilmu pengetahuan atau kemahiran”. Menurut Robert M.Gagne (1970), didalam The Condition of Learning, beliau mendefinisikan pembelajaran sebagai “perubahan tingkah laku atau kebolehan seseorang yang dapat dikekalkan, tidak termasuk perubahan yang disebabkan proses pertumbuhan”. Menurut Woolfolk (1980), didalam Educational Psychology for Teachers, pembelajaran merupakan “perubahan dalaman yang berlaku kepada seseorang dengan membentuk perkaitan yang baru, atau sebagai potensi yang sanggup menghasilkan tindak balas yang baru”.  
            Pembelajaran sains sekolah rendah telah mengalami transformasi secara berperingkat dari masa ke semasa untuk memenuhi keperluan guna tenaga profesional didalam bidang sains dan teknologi di Malaysia. Isu kemerosoton minat para pelajar terhadap bidang sains sama ada di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pengajian tinggi sering diperdebatkan oleh pakar-pakar ilmuan pada masa kini. Masalah ini berlaku disebabkan persepsi negatif daripada kalangan para pelajar itu sendiri terhadap subjek sains sejak dari peringkat sekolah rendah.
            Guru memainkan peranan yang penting untuk mengikis pandangan negatif para pelajar terhadap subjek sains bermula dari peringkat sekolah rendah. Proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah dirancang dengan teliti dengan mengambil kira strategi pengajaran dan pembelajaran, kesesuaian aktiviti pembelajaran dan kaedah pentaksiran yang efektif untuk memastikan para pelajar mendapat ilmu pengetahuan yang bermakna. Masalah pembelajaran sains dapat diatasi sekiranya para guru sentiasa mencari kaedah yang terbaik untuk memastikan objektif pembelajaran mencapai matlamatnya.
2.0       Jenis Masalah Pembelajaran Sains di Sekolah Rendah.

            Masalah pembelajaran sains di sekolah rendah merupakan faktor penyebab utama mengapa para pelajar kurang meminati mata pelajaran sains di sekolah rendah. Murid-murid sering menyatakan bahawa belajar sains dan matematik adalah membosankan. Melalui kefahaman mereka, pembelajaran sains hanyalah bertujuan untuk memastikan mereka lulus di dalam peperiksaan. Aktiviti pembelajaran seperti eksperimen, perbincangan, simulasi, projek, lawatan, penggunaan sumber luar dan penggunaan teknologi amat jarang dipraktikkan oleh guru. Dapat dirumuskan bahawa faktor-faktor berikut merupakan jenis masalah pembelajaran sains di sekolah rendah.
                      I.        Pembelajaran berorientasikan peperiksaan.
                    II.        Kurang aktiviti pembelajaran berkumpulan.
                   III.        Kaedah penyoalan yang lemah.
                  IV.        Strategi pengajaran dan  aktiviti pembelajaran tidak dipelbagaikan.

            Setiap permasalahan yang dinyatakan merupakan penyumbang kepada kemerosotan jumlah para pelajar yang mengikuti bidang sains di institut pengajian tinggi dan juga menjadi faktor kepada persepsi negatif para pelajar sama ada di peringkat sekolah rendah atau menengah untuk mempelajari sains.
            Untuk mengatasi masalah ini, kaedah dan teknik pembelajaran yang dirancang oleh guru haruslah mengikut kecerdasan pelbagai para pelajar. Hal ini amat penting untuk menarik minat para pelajar mempelajari sesuatu topik sains dengan mudah dan berkesan.Cara pengajaran dan teknik pengajaran juga memainkan peranan didalam proses pengajaran dan pembelajaran.
            Pembelajaran secara inkuiri, pembelajaran masteri, pembelajaran kontektual dan konstruktivisme mampu menarik minat murid-murid untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran.Murid-murid cenderung kepada pembelajaran interaktif dan pengajaran hendaklah berpusat kepada murid manakala guru bertindak sebagai fasilitator didalam kelas.
            Guru harus mahir didalam menghasilkan alat atau bahan bantu mengajar yang dapat dimanfaatkan sepenuhnya semasa dan selepas kelas. Pengajaran hendaklah berasakan penglibatan murid sepenuhnya dan murid hendaklah menyertai proses pengajaran dan pembelajaran secara aktif.
2.1       Pembelajaran berorientasikan peperiksaan.

            Penilaian perkembangan akademik para pelajar di Malaysia adalah berasaskan kepada keputusan peperiksaan awam yang mereka duduki seperti Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Peperiksaan awam ini telah dilembagakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia dan ianya sah sebagai keputusan rasmi akademik seseorang pelajar.
            Keputusan peperiksaan secara keseluruhan akan menentukan tahap prestasi akademik sesebuah sekolah di Malaysia. Kebanyakkan guru-guru sains di peringkat sekolah rendah akan berusaha untuk memastikan para pelajar lulus dengan cemerlang atau sekurang-kurangnya lulus agar peratusan gred pencapaian pelajar lulus dapat dipertingkatkan dari tahun ke tahun. Melihat kepada perkara ini, didapati bahawa tujuan utama guru mengajar sains adalah untuk memastikan para pelajar lulus dan bukannya untuk membolehkan para pelajar mendapat ilmu pengetahuan secara bermakna.
            Apabila senario ini berlaku, para pelajar kurang didedahkan dengan kemahiran saintifik, kemahiran manipulatif dan kemahiran proses sains kerana keadaan ini kurang membantu para pelajar mendapat markah secara keseluruhan. Proses pengajaran dan pembelajaran berlaku secara hafalan fakta, teori, konsep dan hukum sains semata-mata tanpa melibatkan aktiviti pembelajaran yang pelbagai. Konsep pembelajaran masteri, pembelajaran kontektual, inkuiri dan konstruktivisme hanya ditulis pada Rancangan Pengajaran Harian (RPH) tanpa dilaksanakan sepenuhnya. Guru mengajar secara tradisi dengan menggunakan penerangan dan papan tulis. Para pelajar merasakan mereka sebagai pendengar secara pasif dan tidak dilibatkan sepenuhnya didalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
            Hal ini akan menyebabkan para pelajar kurang minat untuk mempelajari sains kerana fokus dan objektif utama mereka adalah untuk menghafal pembelajaran dan lulus didalam subjek sains. Apabila para pelajar tidak didedahkan dengan kemahiran saintifik, kemahiran manipulatif dan kemahiran proses sains, tahap kognitif mereka juga tidak berkembang dengan sepenuhnya. Kemahiran ini amat penting untuk meningkatkan kemahiran mental dan fizikal para pelajar didalam menyelesaikan sesuatu masalah secara saintifik.
2.2       Kurangnya aktiviti pembelajaran berkumpulan.

            Pembelajaran kumpulan umumnya dikaitkan dengan strategi pembelajaran koperatif. Menurut Johnson & Johnson (1991), “secara dasarnya, pembelajaran kooperatif melibatkan pelajar bekerjasama dalam mencapai objektif pembelajaran”.            Fokus utama  pembelajaran koperatif berkisar kepada tiga perkara iaitu pencapaian akademik, penerimaan kepelbagaian dan kemahiran sosial.
            Menurut Slavin (2005),“pembelajaran koperatif merupakan pembelajaran aktif yang berupaya untuk mengubah  untuk mengubah suatu situasi pembelajaran yang pasif kepada suatu yang dinamis serta berpusatkan pelajar”.
            Para pelajar kurang meminati pembelajaran sains kerana pembelajaran berpusatkan guru dan mereka menjadi pendengar yang pasif. Pembelajaran koperatif menekankan interaksi sosial di mana setiap ahli kumpulan perlu berhubung rapat, saling memenuhi dan bantu-membantu untuk mencapai matlamat kumpulan di dalam konteks pembelajaran. Matlamat ini hanya dapat dicapai melalui kerjasama semua ahli didalam kumpulan. Setiap ahli kumpulan mempunyai peranan jelas dan tertentu dalam usaha mencapai matlamat yang ditetapkan. Pembelajaran koperatif juga mampu meningkatkan kemahiran kognitif seseorang pelajar
            Kebanyakkan guru kurang menerapkan pembelajaran secara berkumpulan kerana menganggap pembelajaran sebegitu akan menjejaskan tumpuan pelajar yang cemerlang untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran. Pembelajaran sains di sekolah rendah juga kurang melibatkan aktiviti pembelajaran kumpulan kerana faktor-faktor berikut:
                      I.        Kekangan masa
Para guru mendapati bahawa masa yang diperuntukan adalah tidak mencukupi untuk melaksanakan pembelajaran secara berkumpulan kerana mereka terpaksa mengambil kira faktor penyediaan kumpulan, agihan masa dan penyediaan radas atau bahan.
                    II.        Tiada kemudahan makmal sains
Pembelajaran secara eksperimen, perbincangan, simulasi, projek, lawatan, penggunaan sumber luar dan penggunaan teknologi amat kurang berlaku di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman kerana kekurangan peralatan atau radas sains yang bersesuaian untuk melaksanakannya.
2.3       Kaedah penyoalan yang lemah.

            Pembelajaran sains secara berkesan memerlukan para guru menggunakan kaedah penyoalan kognitif aras tinggi agar ianya dapat membuka minda para pelajar ke arah penyelesaian saintifik. Para pelajar harus didedahkan dengan soalan mengapa, kenapa, bagaimana sesuatu fenomena dan kejadian berlaku didalam aspek sains.
            Teknik penyoalan memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan objektif pelajaran mencapai matlamatnya. Sedar atau tidak, kriteria kemahiran teknik penyoalan guru-guru amat dititik beratkan semasa penilaian Jemaah Nazir Sekolah, pihak Pejabat Pelajaran Daerah dan pihak pentadbir sekolah yang terlibat didalam pemantauan pengajaran dan pembelajaran guru-guru di sekolah. Ini jelas menunjukkan bahawa kemahiran seseorang guru menguasai teknik dan kemahiran menyoal secara langsung menentukan keberkesanan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku didalam kelas.
            Didapati bahawa para guru melakukan beberapa kesilapan semasa menyoal para pelajar didalam kelas. Diantaranya ialah:
                      I.        Soalan yang tidak jelas.
                    II.        Bersifat spontan.
                   III.        Tidak menentukan tujuan soalan.
                  IV.        Soalan hanya sekadar mencungkil ingatan dan memahami fakta.

            Semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku, penyoalan lebih berpusat kepada para pelajar yang cemerlang jika dibandingkan dengan para pelajar pasif kerana guru mengharapkan jawapan daripada membimbing para pelajar untuk mendapatkan jawapan melalui interaksi positif. Didalam erti kata lain, para pelajar hanya menjawab dan bertanya apabila perlu. Didalam konteks ini, proses pengajaran berlaku namun ianya bukan pembelajaran yang bermakna kepada para pelajar.
            Di peringkat sekolah rendah, para pelajar mempunyai semangat ingin tahu yang tinggi. Pelbagai persoalan timbul didalam minda mereka untuk mengetahui punca dan sebab sesuatu perkara berlaku. Para guru harus mahir memanipulasikan soalan yang ditanya agar ianya dapat menarik minat para pelajar untuk mempelajari sains sebagai salah satu matapelajaran yang menarik.
2.4       Strategi pengajaran dan  aktiviti pembelajaran tidak dipelbagaikan.
           
            Pembelajaran secara konstruktivisme didalam proses pengajaran dan pembelajaran sains membantu murid-murid membina analogi, contoh dan kaedah mengingati dengan cara mereka tersendiri berdasarkan pengalaman sedia ada agar ianya menjadi satu bentuk kefahaman yang baru.           
            Mengikut Anderson & Block(1975), pembelajaran masteri  ialah satu set idea dan amalan pengajaran secara individu yang dapat membantu murid untuk belajar secara konsisten”. Pembelajaran masteri harus dilaksanakan kerana murid mempunyai kecerdasan yang pelbagai dan murid harus menguasai pengetahuan, kemahiran dan sikap yang dipelajari. Pembelajaran juga dipecahkan kepada unit yang lebih kecil agar ianya mudah untuk dikuasai.
            Pembelajaran kontekstual merupakan kaedah pembelajaran yang menggabungkan isi kandungan dengan pengalaman harian individu, masyarakat dan alam pekerjaan. Kaedah ini menyediakan pembelajaran secara konkrit yang melibatkan aktiviti “hand-on” dan “mind-on”.
            Menurut Shulman (1968/1973),    inkuiri merupakan “proses mencari dan menyiasat, membina hipotesis, mereka bentuk eksperimen, mengumpul data dan membuat kesimpulan untuk menyelesaikan masalah”. Trowbridge, Bybee dan Sund (1981), menyatakan definisi penemuan adalah “apabila individu menggunakan proses mental untuk membentuk konsep atau prinsip”. Pembelajaran secara inkuiri membolehkan para pelajar mengenali sesuatu masalah, mereka bentuk penyelesaian masalah dan mencari jalan penyelesaian masalah.
            Strategi pengajaran yang dinyatakan diatas kurang dipraktikkan oleh guru didalam proses pengajaran dan pembelajaran sains. Kerana inilah murid-murid kurang meminati sains. Guru tidak berusaha untuk mempelbagaikan strategi pengajaran dan aktiviti pembelajaran sehingga mengakibatkan para pelajar menjadi bosan dengan kaedah dan teknik pengajaran yang kekal sama.
            Setiap topik pengajaran dan pembelajaran mempunyai strategi pengajaran dan aktiviti pembelajaran yang tersendiri. Sekiranya guru tersebut mahir memanipulasikan strategi pengajaran, sesi pembelajaran sains akan menjadi mudah dan menarik bagi para pelajar. Tumpuan dan perhatian yang mereka berikan akan memudahkan guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan guru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan